Refleksi kritikan sosial 'Hikayat Abdullah'
Hikayat
salah satu bidang kesusasteraan Melayu silam. Cerita-cerita hikayat
biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau
kejadian yang penting.
Pada kebiasaannya cerita hikayat adalah
warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan format
penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk di
mana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh
pendengar.

Antara
peristiwa yang membaca kepada pembacaan hikayat ini adalah apabila
berlakunya peperangan. Hikayat-hikayat mengenai kegagahan dan
keperwiraan pahlawan Melayu silam dibacakan dengan lantang bagi
diperdengarkan kepada para hulubalang bagi menaikkan semangat juang
mereka. Antara yang menjadi kebiasaan bagi dibaca adalah Hikayat Amir
Hamzah.
Namun hikayat-hikayat ini kerana kuat pengaruhnya dengan
budaya dan kepercayaan Hindu-Buddha yang terlebih dahulu bertapak di
kepulauan Nusantara turut mempengaruhi bentuk dan simbol-simbol dalam
penulisan/ penceritaan hikayat selepas kedatangan Islam.
Antara
contoh yang paling ketara adalah, semasa Hindu-Buddha menjadi agama umum
di Nusantara kebanyakan hikayat adalah berkisarkan kepada kesaktian dan
kejaiban kuasa para dewa dan dewi. Ia juga menggagaskan konsep raja
sebagai dewa di bumi atau anak kepada dewa itu sendiri.
Apabila
Islam datang, para pendakwah Islam termasuk para Wali Songo menggunakan
cara yang berhikmah dalam mengambil hati masyarakat Nusantara. Antara
cara yang digunakan dengan mengasimilasikan dakwah Islam dengan adat,
budaya dan kesenian termasuk sastera yang sedia ada.
Justeru,
tidak hairan konsep yang hampir sama dengan gagasan raja sebagai wakil
dewa atau anak dewa kemudian menjadi sultan adalah bayangan Allah di
muka bumi (zhilu-Allah fil ard). Konsep ini disandarkan pula kepada
sebuah hadis yang dikaitkan kepada Rasulullah sedangkan pakar hadis
kemudiannya menilai hadis tersebut sebagai sangat lemah (daif jiddan).

Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dalam artikelnya bertajuk “Bilakah Sultan Menjadi Bayangan Allah di Bumi” menjelaskan:
“Sebenarnya
hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang
sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan ataupun
mungkin boleh mendekati sahih. Antara lafaz yang palsu atau
sekurang-kurang teramat daif:
“al-Sultan bayangan Allah di bumi.
Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu
syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu
sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan.
Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati
sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang
sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman.” (hadis ini
dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah,
no. 1664)
Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat
lafaz “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” adalah sahih disebabkan
pelbagai riwayat. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan,
daif, sangat daif dan palsu.
Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:
“al-Sultan
bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri
yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.
Abdullah Munsyi dan kritikannyaKemunculan
Abdullah bin Abdul Kadir, seorang peranakan Keling dan berketurunan
Arab yang fasih membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, bahasa
Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan bahasa Hindustan membuka
lembaran baru dalam dunia penulisan dan persuratan di Nusantara.
Ini
kerana, hikayat yang ditulis beliau merupakan suatu rakaman pengamalan
sebenar kehidupan sosial pada zamannya. Malah banyak peristiwa besar dan
sikap sosial terakam dalam hikayat tersebut sekali gus mencarikkan adat
kebiasaan sebuah hikayat yang penuh dengan fantasi kesaktian dan
legenda ketokohan individu.
Jenis penulisan beliau ini pada hari
ini popular sebagai memoir atau autobiografi. Hikayat Abdullah siap
dikarang 1845 dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1849.
Namun
apa yang paling ketara dalam autobiografi ini adalah, sikap Abdullah
dan kritikan tajam beliau terhadap suasana sosial pada zaman itu, hasil
daripada pemikiran dan ketajaman akal yang mendahului zaman hasil
didikan secara paksa rela oleh ayahnya sendiri.
Tidak benar jika
dikatakan beliau hanya mengkritik bangsa Melayu kerana jika sesiapa
membaca keseluruhan hikayat tersebut, pasti jelas bahawa orang Inggeris,
Amerika, Cina, India, Jerman, Belanda, pendek kata apa yang dilalui dan
dijumpai serta dilihat sendiri oleh beliau di Melaka dan Singapura,
tidak terlepas daripada kritikan dan komentar jujur Abdullah.
Namun
yang paling ketara adalah, kritikan Abdullah kepada raja-raja Melayu
sepanjang hikayat tersebut. Digambarkan bagaimana Sultan Hussein Syah
yang tertipu kepada helah Inggeris kerana mahukan sejumlah wang sebagai
habuan dan gaji bulanan bersama temenggung.
Begitu juga beliau
sangat kritikal kepada sikap sultan dan kaum kerabatnya, seperti
sultanah yang membunuh dan menyeksa dengan sewenang-wenangnya hamba abdi
perempuan yang ada rupa kerana cemburu. Ini kerana risau dijadikan oleh
Sultan Hussain Syah sebagai gundik.
Lebih jelas lagi apabila Abdullah mengungkapkan sikap raja-raja Melayu dan kerabatnya dengan katanya:
“Setelah
Sultan Mahmud mangkat, entah dari mana datangnya, dalam dua tiga hari
singgahlah dua tiga orang anak raja di Padang. Setelah sampai di pantai,
disuruhnya orang membawa tombaknya ke darat untuk meminta beras, ayam,
dan barang-barang lain yang dikehendakinya. Kasihan orang Padang kerana
kebodohannya. Apabila mereka nama raja atau anak raja, dihormatinya
seperti Allah.
“Dengan gementar tulangnya, mereka serahkan
sebarang kehendaknya tanpa bayaran. Sepuluh lima belas hari kemudian,
datang pula empat lima anak-anak raja. Mereka pun meminta juga. Ada yang
naik sendiri ke darat. Barang yang ditemuinya diambil seperti barang
sendiri. Mereka seperti penyamun.
"Tuan punya harta hanya
terkelip-kelip matanya, bodoh sebab takut pada nama anak raja. Diam
sahaja. Anak raja yang tidak tahu malu dan takut kepada Allah dan
makhluk kerana makan barang haram, berbuat sesuka hatinya.
“Ada
pula kelakuan seperti binatang, mengejar dan memperkosa anak-anak
perempuan. Setelah itu mereka belayar. Kemudian datang pula yang lain.
Kehendak mereka tidak boleh dilawan. Jika dilawan, akan dibunuh dan
rumah dibakar. Pokok-pokok kelapa mereka habis ditebang untuk umbutnya.
Demikianlah mereka membinasakan hamba Allah dengan zalim dan aniaya.
“Mereka
meninggalkan kampung halaman dan sawah ladang yang porak-parik, membawa
diri ke tempat lain. Ada yang menjadi hamba orang, beribu-ribu orang,
bertaburan sepanjang tempat. Kampung-kampung itu tinggal menjadi hutan
rimba tempat gajah dan harimau sekarang ini. Tidakkah mereka sedar
segala kezaliman dan aniaya mereka itu akan dibalas oleh Allah?
“Ada
satu lagi perkara pelik kedengaran. Ada raja yang membuat satu adat,
bukannya adat orang Islam atau adat bangsa-bangsa lain di dunia,
melainkan adat Iblis ataupun adat hawa nafsu yang jahat. Raja-raja itu
mengambil anak-anak dara orang kebanyakan untuk dijadikan gundik dengan
paksa, tiada reda perempuan itu, apalagi ibu bapanya.
“Dengan
paksa perempuan itu dibawa ke rumahnya. Dipanggilnya khatib atau
lebai-lebai yang bebal dalam hukum agama Islam dan tamakkan upah.
Disuruh oleh raja nikahkan perempuan itu dengan keris raja. Adakah nikah
itu sah?
"Oleh sebab itu, banyaklah lahir anak haram. Kelakuan
raja-raja itu seperti iblis yang tidak takutkan Allah dan rasul, dan
tiada malu kepada makhluk. Tidakkan patut perbuatan zalim dan aniaya itu
dibalas oleh Allah dengan bala-Nya? (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi
semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 330-338)
Selain
daripada itu, Hikayat Abdullah ditutup dengan suatu nasihat dan
pandangan yang agak radikal kepada para raja Melayu pada zaman tersebut
dan sebelumnya. Justeru tidak hairan mengapa sesetengah cendekiawan
Melayu (baca: bangsawan) rasa tidak selesa malah melabelkan beliau
dengan pelbagai label termasuk Abdullah Paderi dan sebagainya. (Rujuk:
Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007:
382-391)
Perihal beliau banyak bekerja dan memuji orang putih
(namun tetap dikritik kerana kesombongan/ rasa sudah pandai dalam
mempelajari bahasa Melayu) malah sehingga ditugaskan menyalin dan
membaik pulih terjemahan Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu bertulisan
Jawi, apakah ia menyalahi hukum agama, masih boleh diperdebatkan.
Namun
hakikatnya, jasa Abdullah Munsyi kepada korpus kesusasteraan dan
persuratan termasuk kewartawanan Melayu adalah sangat besar. Tidak adil
jika dinafikan segala sumbangan dan jasa beliau dalam merekod peristiwa
zaman dengan begitu cermat dan terperinci serta telus.
Sepanjang
membaca Hikayat Abdullah, beliau tidak lekang melafazkan doa dan
bertasbih, kadang-kadang mengungkap kata-kata tazkirah dan tazkiatun
nafs yang memperlihatkan betapa beliau adalah seorang Muslim yang
mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kuat selain berpegang
teguh dengannya.
Tidak wajar kita menghukum beliau sehingga
kepada murtad kerana beliau sangat propenjajah malah banyak membantu
penjajah dalam membuat gerak kerja serta mengajar bahasa Melayu. Ini
kerana keimanan adalah perihal hati nurani dan hanya Allah yang tidak
mempunyai hati yang layak menilai keimanan seseorang, bukan sesama
manusia yang juga mempunyai hati nurani dalam dadanya yang juga akan
dinilai oleh Allah.
Renungi pula kata-kata nasihat beliau mengenai kepentingan membaca hikayat-hikayat klasik Melayu:
“Ketika
itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh
daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau
aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya
mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca,
barulah aku pulangkan.
“Dari situlah aku mendapat kefahaman
mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan.
Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak
pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam
bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang
tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan
berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya.
“Pada
ketika itu barulah kita teringat bahawa kita pernah bertemu perkataan
tersebut dalam kitab dan hikayat yang kita baca. Demikianlah gunanya dan
maknanya. Dalam hal ini, jangan engkau salah faham. Kebanyakan hikayat
itu aku tahu sebenarnya adalah karut belaka. Aku tidak meminta engkau
percaya cerita-cerita itu. Namun biarlah ia tinggal sebagai cerita. Yang
penting, pengarangnya itu orang yang pandai. Kita ambil kepandaian
ilmunya itu.
“Apabila kita sudah mengetahui semua rahsia
tersebut, bolehlah kita mengarang perkara yang kita kehendaki, iaitu
kisah yang benar dan rencana yang baik. Apabila sudah kita tahu
maknanya, maka bertambah baiklah karangan itu. Sudah terang lagi
bersuluh.
"Namun ramai orang yang pandai membaca surat-surat dan
hikayat-hikayat Melayu apabila ditanya makna sesuatu perkataan yang ada
di dalamnya, mereka tidak dapat menjawab. Mereka tidak belajar tentang
asalnya perkataan itu dan tidak mengetahui gunanya. Mereka hanya
meniru-niru sahaja.” (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik
adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 108-109)