Friday 6 September 2013

Sejarah yang bakal diajar di sekolah rendah pada mulanya akan tertumpu pada sejarah diri murid itu sendiri seperti sejarah diri dan keluarga, sejarah sekolah dan sejarah setempat. Tema ini akan ditekankan terlebih dahulu supaya murid-murid peringkat rendah ini faham apa yang dimaksudkan dengan sejarah. Sebagaimana yang kita ketahui, sejarah merupakan peristiwa penting yang berlaku suatu masa dahulu, disebabkan itu murid-murid pada peringkat ini perlu diperkenalkan dahulu dengan maksud sejarah itu sendiri. Setelah mereka memahami maksud sejarah, barulah kita boleh mengajar sejarah yang berbentuk lebih kompleks.

          Seterusnya, murid  juga akan diajar mengenai kehidupan zaman dahulu bermula dengan zaman batu sehinggalah wujudnya Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah mengenai kehidupan dahulu sangat penting supaya mereka mengetahui bagaimanakah kehidupan yang dilalui oleh orang dahulu sehinggalah wujud kemajuan yang kita kecapi hari ini. Mereka akan didedahkan dengan tokoh-tokoh terbilang Kesultanan Melayu Melaka supaya mereka dapat mengambil iktibar dan menjadikan teladan mengenai kegagahan pemimpin terdahulu mempertahankan tanah air mereka. Murid pada peringkat sekolah rendah sangat suka mendengar cerita, oleh itu guru perlulah bijak menyampaikan ilmu supaya mata pelajaran sejarah tidak membosankan.

          Kurikulum Sejarah sekolah rendah juga akan merangkumi mengenai sejarah Malaysia. Pada tema ini, murid-murid akan didedahkan mengenai negeri-negeri yang terdapat di dalam Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak. Tema ini juga akan memperkenalkan mereka mengenai bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, lagu Negaraku, Bendera Malaysia, Bunga Kebangsaan, Rukun Negara dan Jata Negara. Selain itu, mereka juga akan diperkenalkan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong.

         Pada tema yang seterusnya pula, murid-murid akan diperkenalkan dengan kejayaan yang telah dikecapi oleh negara kita. Kurikulum yang terkandung dalam mata pelajaran sekolah rendah ini sememangnya sangat penting untuk membentuk warganegara Malaysia yang cinta akan negaranya. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah sangat penting kerana kanak-kanak merupakan peringkat yang paling sesuai untuk menyemai semangat cinta akan negara. Hal ini kerana untuk mewujudkan semangat patriotisme perlulah disemai semenjak akar umbi lagi.

      Jika ada desas desus yang menyatakan mata pelajaran sejarah merupakan salah satu mata pelajaran yang tidak penting, ternyata sama sekali mereka silap. Mata pelajaran sejarah sebenarnya sangat penting. Generasi muda perlu didedahkan dengan sejarah negara dengan fakta yang tepat berdasarkan dipelajari supaya mereka tahu mengenai susur galur sejarah negara. Selain itu, sejarah sekolah rendah juga sangat penting supaya kanak-kanak pada peringkat ini dapat mengetahui sejarah diri dan keluarga mereka sendiri. Dengan adanya, mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah rendah maka kanak-kanak dapat menambah ilmu pengetahuan sejarah mereka.

           Sejarah juga sangat penting bagi membentuk masyarakat majmuk kita pada hari ini. Melalui sejarah kita dapat mengenali budaya, bahasa, agama sesuatu masyarakat yang lain. Di samping itu, kita juga dapat menjaga sensitiviti kaum lain melalui sejarah yang dicipta. Pembelajaran sejarah juga dapat membantu supaya kita tidak mengeluarkan fakta-fakta tertentu yang boleh menggugat kestabilan negara. Di sini, kita dapat melihat betapa pentingnya anak-anak kita mengetahui serba sedikit mengenai sejarah kerana mereka merupakan bakal meneruskan kepimpinan negara.

              Sejarah juga membantu kita mengecapi kemajuan yang kita rasakan pada hari ini. Disebabkan adanya golongan cerdik pandai yang mempelajari daripada kejadian-kejadian yang terjadi terdahulu kita dapat menjadi lebih baik pada hari ini. Kejayaan-kejayaan golongan cerdik pandai terdahulu yang telah menjadi sejarah juga mampu memberikan kita suntikan motivasi supaya untuk berusaha lebih gigih supaya menjadi lebih baik dari mereka.

               Pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah juga dapat melahirkan individu yang cinta akan negara tanpa berbelah bagi. Oleh sebab mereka bakal menggantikan pucuk kepimpinan negara, maka dengan itu mereka seharusnya didedahkan dengan sejarah negara kita yang terjadi terdahulu. Suatu ketika dahulu negara kita pernah dijajah oleh Portugis, Inggeris dan Jepun. Sejarah mungkin berulang, jika kita tidak mengambil iktibar darinya. Disebabkan itu, mereka perlu tahu supaya pisang tidak berbuah dua kali.

              Pada hari ini, kita lihat bidang sains mendapat sambutan yang lebih hangat berbanding bidang sastera. Hai ini kerana generasi muda hari ini lebih didedahkan kepada sains berbanding mata pelajaran sejarah. Apabila mata pelajaran sejarah diajar di sekolah, kita mungkin boleh melahirkan golongan muda yang berminat untuk menerokai bidang sejarah. Dengan itu, mereka boleh didik semenjak hari ini, supaya mungkin suatu  hari nanti mereka mampu menulis sesuatu mengenai sejarah atau mereka bakal menjadi ahli sejarawan negara.

              Konklusinya, mata pelajaran sejarah sememangnya sangat penting untuk generasi hari ini supaya sebagai warganegara Malaysia mereka tahu mengenai asal usul negara mereka. Selain itu, sejarah sangat penting untuk menjadi iktibar supaya kita tidak mudah dieksploitasi oleh sesetengah golongan. Maka dengan itu, kita seharusnya menyokong pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah demi kepentingan diri, masyarakat dan negara.