(Sumber: Qasim Ahmad. 1991.
Karya Sejarah: Pendekatan dan
Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. Hlm. 35-50.)
Salah satu persoalan yang kerap
dibincangkan dalam penulisan sejarah ialah isu pengadilan moral. Perkara ini
selalu menimbulkan kontroversi yang berpanjangan. Secara kasarnya, terdapat dua
sikap di kalangan ahli sejarah tentang hal ini. Di satu pihak, terdapat mereka
yang mengatakan bahawa pengadilan moral itu tidak patut dilakukan, kerana di
antara si pengkaji sejarah dengan pelaku (atau masyarakat) yang dikajinya itu,
mungkin terdapat sistem nilai yang berlainan. Dengan kata lain, apabila ahli
sejarah itu membuat pengadilan moral ia mungkin tidak dapat bersikap adil
kepada orang atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya. Di pihak
yang lain pula, terdapat para ahli sejarah yang menyokong pengadilan moral di
dalam sejarah. Di antara hujah yang diutarakan bagi mempertahankan pendirian
ini ialah seseorang pelaku di dalam sejarah itu bertanggungjawab di atas
perlakuannya, lantas ia patut dipersalahkan kalau berlaku salah, dan diakui
kebaikannya kalau ia berlaku baik. Lagipun, kata golongan ini, kalaulah kita
katakan pengadilan moral itu tidak mungkin dikendalikan kerana manusia, atau
masyarakat, mempunyai sistem nilai yang berbeza, maka kita seolah-olah
mengatakan yang manusia tidak mempunyai apa-apa ciri persamaan. Ini, hujah
pihak ini lagi, amatlah sukar diterima. Kalaulah ketiadaan persamaan itu
diterima juga, maka, tanya mereka, bagaimana mungkin dijelaskan persetujuan
yang sudah diiktiraf (sekurang-kurangnya di dalam pemahaman biasa) tentang apa
yang dimaksudkan dengan "baik", "jahat",
"tinggi", "kelabu", dan sebagainya? Atau apakah manusia
terpaksa sentiasa mengemukakan definisi apabila mereka menggunakan
perkataan-perkataan begini? Lebih penting lagi, barangkali, ialah apakah faktor
yang mungkin mempersatukan manusia dan yang menimbulkan sikap saling memahami
sesama manusia sekiranya persamaan di kalangan manusia terus dinafikan?
Segala yang di atas inilah yang
ingin saya bincangkan seterusnya dan saya akan gunakan kes Nazi di Jerman
sebagai kes rujukan. Harapan saya ialah agar beberapa aspek dan implikasi
daripada isu ini dapat diperincikan dengan lebih jelas lagi.
Apakah pengadilan moral?
Ringkasnya, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun
tindakan mengenakan penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah atau
kepada seseorang pelaku di dalam sejarah. Misalnya, di dalam tulisan seorang
ahli sejarah ada dinyatakan sesuatu peristiwa itu tidak baik, Ketua Negara itu
bersalah, masyarakat pada masa itu mundur, sistem politik ini tidak progresif
dan sebagainya. Pendeknya si penulis atau ahli sejarah itu telah menghukum dan
menilai.
Dalam kes Nazi di Jerman, di
antara persoalan yang selalu timbul ialah bagaimana seseorang ahli sejarah
boleh menghukum atau mengadili Adolf Hitler; menilai tindakan Nazi membunuh
lebih kurang enam juta orang Yahudi (tua muda, kecil besar, lelaki wanita) di
Eropah; dan mempertimbangkan reaksi ketua kaum dan orang awam Yahudi. Bolehkah
seseorang itu bersikap berkecuali saja? Apakah masalah yang terlibat? Kalaulah
terdapat kesulitan, bagaimanakah pula cara mengatasinya?
Lucy Dawidowicz, di dalam
bukunya, The War Against the Jews, dengan
tegas mengatakan kes pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi - yang juga
dipanggil holocaust (bencana) - tidak
membenarkan sikap berkecuali" di pihak para ahli sejarah. Oleh
itu bukunya, kata Dawidowicz, tidaklah terlerai daripada sistem nilai.
Maknanya, bukunya itu turut menjelaskan ada perkara yang baik, ada yang tidak
baik, ada orang yang bersalah dan ada orang yang tidak bersalah pada zaman
pemerintahan Nazi di Jerman.
Setelah mengetahui pendirian
Dawidowicz ini, maka tindakannya tidak mahu menilai sikap ketua kaum Yahudi
yang telah didakwa oleh sesetengah pihak sebagai telah bersubahat dengan Nazi
tentulah menarik perhatian kita. Kata Dawidowicz,
"Dalam
membincangkan perlakuan segolongan kecil pemimpin Yahudi yang telah dituduh
melakukan jenayah oleh mereka yang terselamat dan para sarjana, saya telah
dipengaruhi oleh pendapat Profesor Herbert Butterfield, yakni ahli sejarah
memang tidak mungkin mengetahui manusia secara batinnya. Perkara ini berlaku
sebab ahli sejarah tidak dapat menyiasat lubuk pemikiran dan hati mereka,
tempat “pembentukan akhir niat dan garis tanggungiawab itu"
ditentukan."
Salah seorang sarjana yang
dimaksudkan oleh Dawidowicz ialah Hannah Arendt, seorang sarjana Yahudi Amerika
yang terkenal di Barat. Arendt di dalam bukunya Eichmann In Jerusalem: A Report on the Banality of Evil dengan tegas membuat dakwaan seperti yang
dikatakan oleh Dawidowicz. Dakwaan Arendt bukanlah ditujukan kepada segolongan
kecil pemimpin Yahudi tetapi kepada semua mereka "hampir tanpa
pengecualian".
Ekoran dakwaan ini, Arendt
menyatakan bahawa sekiranya orang Yahudi telah betul-betul tidak diurus dan
tidak pula mempunyai pemimpin, maka nasib mereka tidak mungkin menjadi seteruk
yang telah mereka alami. Huru-hara dan kesusahan mungkin berlaku tetapi mangsa gas chamber (kamar gas) Hitler tidak
mungkin meningkat di antara empat setengah hingga enam juta orang. Inilah
kebenaran yang sepenuhnya, tegas Arendt.7 Inilah "penyelewengan
sejarah", jawab Dawidowicz.
Terdapat beberapa aspek
perbincangan di atas yang wajar diteliti lebih halus lagi. Salah satu
daripadanya ialah dakwaan Dawidowicz bahawa ia terpengaruh dengan pendapat
Butterfield, Dawidowicz tidak mahu mengadili pemimpin Yahudi yang dikatakan
bersubahat atau membuat kesalahan tidak melakukan sesuatu untuk menentang
Nazi. Prinsip Butterfield yang nampak jelas dipegang oleh Dawidowicz di sini
ialah kita tidak boleh membuat keputusan terhadap sesuatu kelakuan manusia
tanpa mengetahui isi hati si pelaku itu sendiri. Tetapi, anehnya, Dawidowicz
tidak pula terikat dengan pertimbangan begini dalam mengadili orang Nazi.
Sikap berbeza Dawidowicz dalam
kes Nazi ini, bagi saya, menunjukkan bahawa di dalam keadaan tertentu dalam
sejarah, tidak perlu mengetahui niat seseorang, atau sesuatu kumpulan orang,
sebelum pengadilan diberikan. Ini kerana perbuatan itu mungkin telah melanggar
ciri-ciri hukum moral, sosial dan sebagainya yang sudah diterima. Andaian di
sini ialah adanya satu kayu ukur pengadilan yang diiktiraf. Apa yang saya
maksudkan ialah niat yang suci murni tidak boleh menukarkan perbuatan salah
menjadi perbuatan yang tidak bersalah. Memang terdapat perbuatan yang bersifat
agak neutral, yakni tidak dengan
jelas melanggar ciri-ciri hukum moral yang diiktiraf, lantas pengadilan
terhadapnya bergantung kepada niat di sebalik pelaksanaan perbuatan itu; dan
begitu juga terdapat perbuatan yang nampak baik lahiriahnya, tetapi boleh
diadili sebagai tidak baik kerana niatnya.
Dalam kedua-dua kes terakhir di
atas, pernyataan peri mustahaknya mengetahui niat adalah munasabah. Berkaitan
dengan ini, pernyataan Butterfield bahawa kebenaran yang hakiki tentang sesuatu
perkara itu "tidak mungkin dihuraikan melainkan pada Hari Pengadilan
jua", dapat dimengerti dan diterima. Manusia bukan Tuhan dan
dia tidak berupaya untuk mengetahui segala sesuatu. Namun begitu,
ketidakupayaan kita untuk mencapai kesempurnaan pengetahuan ini tidak pula
melepaskan kita daripada tanggungjawab membuat pengadilan. Kita terpaksa
melaksanakan keadilan menurut ukuran lahiriah, setakat yang mampu dibuat oleh
manusia. Perbuatan yang baik secara lahiriah tetap diterima sebagai baik
kiranya niat jahat di sebaliknya tidak dapat dibuktikan; perbuatan jahat secara
lahiriah tetap diadili sebagai jahat, dan hukuman ke atasnya tidak patut
diringankan kalau unsur-unsur tidak sengaja di pihak pelaku atau para pelaku,
tidak dapat dibuktikan. Memang terdapat kemungkinan sesuatu peristiwa di dalam
sejarah itu tidak dapat diadili kerana ketiadaan bukti yang cukup. Ini
serupalah halnya dengan kes masa kini yang tidak dapat dibawa ke mahkamah
kerana kekurangan bukti. Masalah kekurangan bukti ini biasanya bukan berkaitan
dengan hal untuk menentukan baik buruknya sesuatu peristiwa, tetapi untuk
mencari orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu. Apabila keadaan ini
wujud, maka prinsip yang patut dianuti ialah tidak bersalah melainkan kalau
dapat dibuktikan sebaliknya.
Timbul persoalan mengapa ahli
sejarah perlu memikul tugas sebagai hakim di mahkamah sejarah? Bukankah apa
yang baik bagi masyarakat pada suatu masa tidak semestinya pula baik bagi masyarakat
pada masa yang lain pula? Mungkin dikatakan bahawa agak keterlaluan bagi ahli
sejarah masa kini menghukum tidak baik amalan masyarakat lain pada masa silam,
walhal masyarakat itu sendiri menganggap amalan itu baik, berperanan dan tidak
pun membantahinya Mengapa ahli sejarah mesti menjaga tepi kain orang? Bukankah
perbuatan ini mencerminkan sikapnya yang mengada-ada, sikap angkuh, sikap
memandang rendah pada per-adaban orang lain dan menganggap bahawa ia saja yang
baik, betul dan bagus?
Saya rasa, persoalan ini dapat
dipecahkan jika andaian tentang hakikat kemanusiaan dapat dijelaskan. Pada
hemat saya terdapat dua andaian iaitu:
Konsep tidak salah, baik, bagus,
menggembirakan dan sebagainya itu adalah mutlak, yakni sama saja sepanjang
zaman dan bagi seluruh insan; dan kalaupun ada pengecualian yang tertentu masih
boleh diberikan garis lingkungan yang nyata; atau konsep tidak salah, bagus,
menggembirakan dan sebagainya itu adalah relatif, yakni tidak mutlak.
Bagi yang berpegang kepada
andaian pertama, maka tuduhan menjaga tepi kain orang bukanlah merupakan
sesuatu yang patut dikesali atau dimarahi. Baginya, tidak menjaga tepi kain
orang bermakna tidak menghiraukan nasib orang lain, tidak peduli-mempeduli
sesama manusia. Bagi yang berpegang kepada andaian kedua pula maka pernyataan
menjaga tepi kain orang tetaplah tinggal menurut pengertian biasa dan perbuatan
menjaga tepi kain orang jelas menunjukkan sifat mengada-ada dan segala lain
yang tidak baik yang mungkin boleh dikaitkan dengannya.
Walau bagaimanapun, bagi saya
soal keangkuhan, sikap memandang rendah peradaban orang lain dan anggapan
bahawa orang lain semuanya salah, hanya ia saja yang betul, baik dan bagus,
patut dipisahkan daripada sifat menjaga tepi kain orang. Dengan kata lain,
seseorang yang menjaga, atau mahu menjaga tepi kain orang tidak semestinya
mempunyai sifat tidak baik. Sebaliknya, seseorang yang tidak menjaga tepi kain
orang pula, tidaklah semestinya bebas daripada sifat ini. Apa yang saya maksudkan
di sini ialah peribahasa menjaga tepi kain orang patutlah digunakan tanpa
menyiratkan pengertian negatif di dalamnya.
Kalau kita amat-amati pembicaraan
Butterfield dalam bab "Pengadilan Moral Di Dalam Sejarah", kita
sebenarnya tidak boleh mengatakan Butterfield sebagai anti-pengadilan moral,
Beliau tidak bersetuju dengan penyalahgunaan tugas pengadilan. Kerapkali juga
ia memperlihatkan sikap semacam tawar hati untuk menjalankan tugas ini, (atau
untuk mengesyorkan pelaksanaannya), disebabkan beberapa kerumitan yang
terlibat. Di antara penyalahgunaan tugas dan juga masalah yang dikemukakan oleh
Butterfield ialah:
- Tiap sudut daripada
kehidupan manusia itu tidak dapat dipisahkan daripada soal moral. Tetapi ahli
sejarah tidak dapat mengadili manusia pada setiap waktu. Oleh itu pengadilan
moral yang dibuat sekali-sekala ke atas sesuatu peristiwa yang dipilih adalah
tidak memadai untuk memenuhi hasrat di sebalik tugas ini.
- Pengadilan sering digunakan
sebagai alat untuk mendedahkan kesalahan lawan dan menutup kesalahan sendiri
atau kawan.
- Pengadilan ahli sejarah
adalah di peringkat rendah, yakni pengadilan yang merupakan bukan pengadilan
moral tetapi pengadilan moral setengah masak.
Di dalam kes penyelewengan yang
pertama di atas, soal pemilihan kes sejarah yang hendak diadili memanglah sukar
hendak dielakkan, seperti sukarnya ahli sejarah mengelakkan diri memilih
peristiwa mana dalam sejarah yang mahu ditulisnya, dan peristiwa mana pula yang
tidak mahu disentuh, disentuh sedikit, lebih sedikit atau sedikit-sedikit
saja. Terpulanglah kepada ahli sejarah sendiri menentukan kes mana yang paling
baik untuk diadili atau ditulis bagi mencapai tujuan yang dianggap sah di dalam
penulisan sejarah. Faktor lain, seperti kekurangan atau ketiadaan bahan yang
lengkap dan penilaian tentang kadar kepentingan peristiwa secara keseluruhan
turut memainkan peranan di dalam hal ini.
Kes kedua dalam senarai di atas
menyentuh soal kejujuran, penelitian dan kesediaan ahli sejarah melihat
sesuatu peristiwa sejarah itu daripada berbagai-bagai aspek dan sudut
pandangan, termasuk kesediaan untuk melihat kelemahan pihak sendiri dan pihak
kawan. Kiranya ada ahli sejarah yang tidak ingin berbuat begitu dalam
melaksanakan pengadilan moral, maka yang patut menjadi sasaran kritik bukanlah
tugas pengadilan moral tetapi ahli sejarah itu sendiri.
Kes ketiga adalah berkait dengan
kes kedua. Cara mengatasi penyelewengan begini bukanlah dengan melarikan diri
daripada tugas pengadilan moral. Kerumitan yang timbul patutlah diselesaikan
dengan memperlengkapkan lagi ahli sejarah dengan kemahiran yang diperlukan,
agar pengadilan moralnya tidak hanya dan tidak lagi merupakan pengadilan moral
setengah masak.
Sebagai rumusan perbincangan
setakat ini, saya ingin menekankan akibat yang mungkin mengekori sesuatu
andaian yang telah disebut sebelum ini, yakni andaian tentang mutlak atau
relatifnya sistem moral. Saya juga mahu menegaskan bahawa isu yang dibincangkan
ini bukanlah hanya mustahak kepada ahli sejarah sebagai ahli sejarah, tetapi
lebih penting lagi, kepada ahli sejarah sebagai manusia. Justeru itu, isu ini
patut juga dihadapi oleh manusia lain. Ringkasnya, kiranya manusia memang
memiliki ciri-ciri moral mutlak yang sama secara keseluruhannya, maka mereka
yang berpegang kepada andaian sebaliknya, dan bertindak atau tidak bertindak
bertolak daripada andaian yang berlainan itu sudah tentulah memulakan rantaian
peristiwa yang berasaskan sesuatu yang tidak sepatutnya menjadi asas. Sekiranya
manusia itu memang tidak memiliki ciri-ciri moral mutlak yang sama secara
keseluruhannya, maka seseorang yang membuat andaian yang sebaliknya pula yang
melakukan kesalahan yang baru sahaja disebutkan tadi.
Apa yang jelas di sini ialah
terdapat kemungkinan kerugian pada kedua-dua andaian itu walaupun dalam masa
yang sama, kedua-duanya kelihatan juga menjanjikan keuntungan. Kalau kita
percaya bahawa salah satu saja daripada dua andaian ini yang boleh dijadikan
asas, maka pemilihan menjadi soal pokok. Penyelesaian soal pokok inilah yang
akan mewarnai penulisan sejarah. Jawapannya akan menentukan sama ada sejarah
boleh membuat pengadilan moral di samping menentukan di mana dan bagaimana
pengadilan itu patut dibuat. Inilah persoalan yang perlu diselesaikan oleh ahli
sejarah sebagai manusia biasa dan juga oleh bukan ahli sejarah yang juga
manusia biasa. Rantaian perkembangan peristiwa yang akan berlaku, ekoran
daripada pemilihan asas tempat bertolak, merupakan perkembangan peristiwa yang
akan meninggalkan kesan kepada manusia secara keseluruhannya.
Ahli sejarah dan manusia lain
menyelesaikan persoalan ini dari sudut yang berbeza-beza. Akibatnya rumusan
mereka juga berbeza-beza. Kadangkala, terdapat juga andaian yang sama tetapi
penekanannya pula yang berlainan. Dua orang, misalnya, mungkin bersetuju
tentang adanya ciri-ciri moral mutlak bagi manusia sejagat, tetapi mereka
mungkin pula berbeza pendapat tentang had persamaan ciri-ciri tersebut, atau
tentang jenisnya. Perselisihan yang beginilah, dan juga perselisihan tentang
unsur-unsur idealisme yang patut ada, atau dilahirkan, di dalam sesuatu
masyarakat itu, yang boleh menyebabkan tumbuhnya perbezaan di dalam
pentafsiran. Perbezaan begini patutlah disedari dan diterima kewujudannya.
Adalah terlalu idealistik bagi sesiapa pun untuk mengharapkan manusia akan
semuanya bersependapat tentang sesuatu perkara, apatah lagi tentang semua
perkara. Walau bagaimanapun, perbezaan sedemikian ini tidaklah patut dijadikan
alasan untuk menafi kewajaran pengadilan moral di dalam sej arah. Rumusan
begitu tidaklah kena pada tempatnya.
Dawidowicz, melalui buku The War Against the Jews, mengatakan
Jerman sebagai sebuah negara telah melanggar perintah "Thou shalt not murder" (Anda tidak boleh membunuh). Maka
mustahil bagi Jerman, katanya, untuk mengambil sikap berkecuali di dalam hal ini.
Jelaslah, bahawa peraturan atau perintah jangan membunuh itu telah
digunakan oleh Dawidowicz sebagai satu peraturan mutlak yang tidak boleh
dilanggar; dan kerana negara Jerman Nazi dan Hitler melanggar peraturan ini
maka mereka bersalah. Tidak ada bukti untuk menunjukkan pembunuh-pembunuh yang
terlibat itu gila bagi membolehkan mereka dilepaskan daripada pengadilan dan
hukuman. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa perbuatan
pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi itu dilakukan kerana tidak sengaja bagi
membolehkan bukuman diringankan. Soal kemungkinan perbuatan membunuh telah
memainkan peranan dalam konteks pemikiran, sosial, politik dan ekonomi Jerman
Nazi, dan sama ada perbuatan itu disukai atau tidak oleh kebanyakan orang Nazi
tidak perlu dimasukkan sebagai unsur penilaian atau pengadilan. Kenapa? Kiranya
perbuatan membunuh itu berperanan, maka keputusan pengadilan ialah: peranan itu
patut dimainkan bukan oleh tindakan pembunuhan, tetapi oleh perkara atau
perbuatan yang lain. Seterusnya, sekiranya orang Nazi Jerman menyukai dasar
itu maka keputusan pengadilan ialah mereka menyukai sesuatu yang salah dan oleh
sebab itu patut dihukum. Di dalam pembicaraan Nuremberg, salah satu hujah bela
ketua-ketua kanan Nazi yang dibicarakan ialah mereka hanya mentaati Fuhrer,
Ketua Negara mereka. Kesalahan mereka di dalam hal ini ialah menempatkan
perintah Ketua Negara lebih atas daripada peraturan mutlak moral.
Seterusnya kalaulah dihujahkan
bahawa di dalam keseluruhan sistem Nazi tindakan pembunuhan itu adalah sesuatu
tindakan yang tidak dapat dielakkan, yakni masalah mereka tidak mungkin selesai
tanpa tindakan yang demikian, maka di dalam hal yang sedemikian itu apa yang
patut disalahkan ialah sistem yang mereka anuti sendiri. Apakah penghukuman ini
merupakan satu sikap yang mencerminkan penilaian tentang adanya satu sistem
atau peradaban yang lebih baik daripada yang lain? Jawabnya ya. Jawapan ini
ialah kesimpulan yang patut lagi munasabab, seandainya kita telah mengakui
adanya ciri-ciri atau peraturan mutlak sejagat. Apakah jawapan ini memperlihatkan
perasaan angkuh, sikap memandang rendah (dalam erti kata menghina) peradaban
orang lain dan memperlihatkan sikap "aku saja betul, baik dan bagus"?
Jawabnya tentu tidak. Seperti yang telah dijelaskan dalam perbincangan di
bahagian awal tadi, perlakuan menjaga tepi kain orang patutlah dileraikan
daripada pengertian negatif.
Di sini saya ingin sekali lagi
merujuk kepada karya Butterfield. Saya merasa terharu dengan dua kes tentang
pengkajian sejarah yang terdapat di dalam penulisan Butterfield. Kes pertama
ialah apabila ia menegaskan bahawa tugas mengisahkan Hitler paling sesuai
sekali dilakukan oleh ibu Hitler sendiri. Kes kedua ialah apabila ia mengatakan
bahawa peranan para ahli sejarah ialah menceritakan peristiwa di dalam sejarah
itu sejelas yang mungkin. Jadi, segala keburukan di dalam sesuatu peristiwa
yang terkutuk itu patutlah diterangkan sejelas-jelasnya. Oleh itu, kiranya
sesiapa yang membaca kisah itu mempunyai perasaan perikemanusiaan, mempunyai
peraturan etika, maka dengan sendirinya pembaca akan menghukum jahat sesiapa
yang patut dihukum jahat. Sebaliknya, kalau pembaca yang berkenaan memang tidak
mempunyai kehalusan perasaan, maka betapa banyak penilaian dan penganalisisan
moral yang diutarakan pun, tidak mungkin akan mengusik hatinya. Demikianlah
jalan penghujahan Butterfield.
Saya terharu dengan contoh
pertama kerana menggambarkan bagaimana telitinya Butterfield dalam menekankan
bahawa pengisahan di dalam sejarah itu patut dibuat berdasarkan sikap simpati,
kasih sayang dan pemahaman yang mendalam tentang seseorang atau sesuatu
peristiwa dan bukannya berasaskan perasaan benci, sikap endah tak endah dan
pemahaman yang cetek. Namun begitu dalam keharuan ini pun saya masih
dapat melihat bahawa Butterfield bukan menentang pengadilan moral di dalam
sejarah tetapi hanya menentang pengadilan yang tidak baik saja. Soal siapa yang
selayaknya mengisahkan riwayat Hitler adalah soal kedua.
Dalam contoh kedua, saya terharu
kerana Butterfield yang, saya rasa, mahu menjaga rapi unsur keadilan dan
kebijaksanaan di dalam pengadilan moral, mungkin telah melakukan kesalahan
kerana bersikap terlalu rapi - ia begitu rapi sehingga ia hanya mahu
menyerahkan tugas pengadilan itu kepada pembaca saja. Saya bersetuju
dengan sebahagian daripada pendapat Butterfield ini. Memang mungkin terdapat
kes pembaca yang memang arif: terkilat ikan di air sudah diketahui jantan
betinanya. Tetapi tidak semua pembaca berkeupayaan sebegitu rupa. Oleh itu,
kadangkala, misalnya, kalau Si penulis percaya yang sesuatu pihak di dalam
sesuatu peristiwa sejarah itu patut mendapat simpati daripada Si pembaca, maka
ia patut mengemukakan alasan dan hujahnya dengan jelas. Sekiranya alasan begitu
masih juga tidak meninggalkan kesan di dalam hati Si pendengar (pembaca)
maka Si penulis tidak perlu lagi diburui oleh rasa bersalah atau kesal kerana
sekurang-kurangnya ia telah tidak menyembunyikan sesuatu. Mungkin juga Si
pembaca tidak menyetujui alasan dan hujah Si penulis atau kedua-dua mereka
mempunyai sistem nilai yang bertentangan di antara satu sama lain. Sekali lagi,
persoalan ini berkisar, pada pokoknya, bukan tentang patut atau tidak patut
pengadilan moral itu dikendalikan, tetapi bagaimana paling baik persoalan ini
boleh dikendalikan. Cara bagaimana paling baik dan patut dilaksanakan tentulah
bergantung pada keadaan yang wujud pada sesuatu ketika itu.
Sekarang, soalnya ialah bagaimana
mungkin seseorang itu mengadili pencabulan pihak Nazi terhadap orang Yahudi?
Dalam hal ini, dan berhubung dengan peranan yang telah dimainkan oleh para
pemimpin Yahudi sendiri, eloklah kita tinjau pendapat Dawidowicz dan seorang
lagi penulis Yahudi, yakni Hannah Arendt. Jelas terdapat percanggahan pendapat
di antara kedua-dua mereka ini. Dawidowicz mahu membela para pemimpin Yahudi
sementara Arendt tidak. Pembelaan yang diketengahkan oleh Dawidowicz
berkait rapat dengan masalah niat, yakni persoalan rumit yang telah ditimbulkan
sebelum ini.
Dawidowicz tidak menafikan yang
para pemimpin kaum Yahudi bersubahat dengan orang Nazi. Ia tidak membela mereka
dengan penafian ke atas kebenaran hal itu. Pembelaannya adalah disabitkan
dengan niat mereka berbuat begitu. Menurut Dawidowicz, ketua kaum Yahudi telah
dilanda oleh satu dilema yang besar. Kes penubuhan Judenrat (Majlis Golongan Tua) di Poland, misalnya, memperlihatkan
masalah ini. Di Poland dan di negara-negara lain yang dikuasai oleh Nazi, kaum
Yahudi telah diarahkan untuk menubuhkan Judenrat
sebagai badan hubungan di antara pemerintah (Nazi) dengan masyarakat
Yahudi. Oleh sebab dasar Nazi sudah jelas anti-Yahudi, ketua kaum Yahudi
khuatir bahawa penubuhan Judenrat dan
penyertaan mereka akan disifatkan sebagai tanda sokongan mereka kepada Nazi.
Sebaliknya, kalau mereka tidak menubuhkan Judenrat
serta turut menjadi ahlinya, maka kepentingan kaum Yahudi mungkin tidak
akan diperhatikan pula, atau orang Yahudi akan diwakili oleh golongan yang
tidak bersimpati langsung dengan Yahudi. Bagi Dawidowicz, orang Yahudi dan
ketua mereka bergading bahu dengan Nazi, atau tunduk kepada Nazi, semata-mata
kerana terpaksa. Mereka tidak mengharapkan apa-apa keuntungan secara peribadi.
Isu kerjasama Yahudi-Nazi ini
juga disentuh oleh Arendt. Arendt menarik perhatian kita kepada satu peruntukan
di dalam Pembicaraan Nuremberg, yakni Undang-undang (Penghukuman) ke atas Orang
Nazi dan Pembantu Nazi 1950. Bahagian 10 undang-undang ini membolehkan
seseorang yang dituduh itu dibebaskan daripada tuduhan terlibat di dalam
jenayah sekiranya ia telah melakukan tindakannya itu "untuk menyelamatkan
dirinya daripada bahaya maut serta-merta". Bahagian 11 pula membolehkan
seseorang membela dirinya sekiranya ia telah melakukan "apa yang paling
terdaya olehnya untuk meringankan akibat daripada kesalahan", atau kalau
ia melakukan kesalahan tertentu demi "mengelakkan akibat yang lebih berat
daripada apa yang terjadi." Bagi Arendt, "adalah jelas,
Bahagian 10 dan 11 undang-undang ini digubal setelah memikirkan penglibatan
pembantu Yahudi dalam keganasan Nazi." Katanya lagi:
"Sonderkommandos" (unit-unit
khas) Yahudi telah digunakan di dalam proses pembunuhan di merata tempat;
mereka telah melakukan perbuatan jenayah untuk menyelamatkan diri daripada
bahaya maut serta-merta, dan ahli-ahli Majlis serta ketua Yahudi telah
bekerjasama kerana mereka fikir mereka boleh "mengelakkan akibat yang
lebih berat daripada apa yang telah terjadi".
Walaupun Arendt jelas menyalahkan
pihak Judenrat kerana dasar kerjasama
mereka, namun terdapat juga bahagian-bahagian di dalam bukunya itu yang
menerangkan bahawa sebenarnya pendiriannya tidak jauh berbeza daripada
pendirian Dawidowicz. Misalnya, ia menyatakan di dalam keadaan krisis seperti
yang dihadapi orang Yahudi itu"... tidak ada kumpulan atau orang bukan
Yahudi telah bertindak dengan cara yang berbeza". Inilah "hakikat
yang menyedihkan", tambahnya. Seolah-olah untuk menekankan lagi
penegasannya itu, Arendt telah menyebut peristiwa kebangkitan orang Yahudi di
Belanda. Akibatnya, 430 orang Yahudi telah ditangkap dan diseksa berbulan-bulan
lamanya hingga mati. Kata Arendt, ... setiap orang daripada mereka tentunya
telah mencemburui saudaranya (yang mati di kamar-kamar gas) di Auschwitz dan
malahan di Riga dan Minsk juga." Kalau Dawidowicz tidak
menyalahkan orang Yahudi dan ketua mereka, maka siapakah yang disalahkannya?
Pendirian Dawidowicz boleh kita lihat daripada pernyataannya yang berbunyi:
Masa seluruh
Fropah rebah terlantar di bawah kekuasaan Jerman, orang Yahudi yang dipenjara
di gheto-gheto mempunyai kesempatan
yang paling tipis untuk menentukan nasib mereka jika dibanding dengan bangsa
atau negara lain".
Dengan kata lain, Dawidowicz
seolah-olah berkata: kenapa tidak disalahkan kuasa-kuasa Eropah lain yang
mengetahui akan jenayah Hitler tetapi tidak bertindak? Apakah Dawidowicz cuba
mencari helah untuk “menutup kesalahan... kawan", atau apakah ia mahu
mengelakkan “pengadilan moral setengah masak?" Apakah adil bagi Dawidowicz
menyeret masuk kuasa-kuasa Eropah lain untuk diperhisabkan sekali di dalam kes
ini?
Kalau kita bertolak
daripada andaian bahawa masyarakat manusia sejagat memang bertanggungjawab ke
atas nasib semua ahlinya, (bukan saja daripada segi menentang kezaliman tetapi
juga daripada segi menyediakan manusia dan suasana yang tidak mungkin
menimbulkan kezaliman itu), maka tindakan atau sikap Dawidowicz itu memang
boleh disifatkan sebagai wajar. Penerimaan andaian ini penting dijelaskan
sebagaimana penting bagi kita juga menjelaskan penerimaan andaian bahawa
manusia itu bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri. Tanpa menerima
andaian babawa manusia itu bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri,
pengadilan ke atas tindakan manusia adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Begitulah juga pengadilan ke atas negara-negara lain, malah ke atas seluruh
dunia, adalah tidak munasabah kalau kita tidak menerima andaian tentang
hubungan antarabangsa yang disebutkan sebelum ini.
Memang kita sedar bahawa terdapat
sebab-sebab negara Eropah enggan bertindak terhadap pemerintahan Hitler,
terutamanya di peringkat awal. Satu sebab yang sering diketengahkan adalah
sama dengan sebab yang diberi bagi menerangkan kenapa orang Yahudi tidak
menentang Hitler: untuk mengelakkan bencana yang lebih berat.
Apakah di sini kita boleh
memaafkan kuasa-kuasa besar Eropah dengan menggunakan hujah yang telah
digunakan oleh Dawidowicz bagi membela pemimpin Yahudi? Apakah ini membuktikan
kebenaran penegasan Arendt bahawa dalam keadaan krisis seperti yang dihadapi
oleh kaum Yahudi, '... tidak ada kumpulan atau orang bukan Yahudi yang
bertindak dengan cara berlainan?"
Terdapat dua atau lebih individu
atau kumpulan yang bertindak dalam bentuk yang sama tidak semestinya menjadikan
tindakan itu wajar. Semua sekali mungkin bersalah. Dalam hal ini kita terpaksa
kembali kepada perbincangan tentang apa yang kita terima dan tidak terima
sebagai sesuatu yang mutlak; untuk kembali kepada sistem nilai:
- Kalau kita menganggap bekerjasama dengan kekejaman! musuh,
berkecuali terhadapnya atau lari daripadanya sebagai sesuatu yang mutlak tidak
baik, maka kita akan tetap menyalahkan orang Yahudi, Jerman, negara Fropah dan
sesiapa sahaja yang terlibat seperti yang disebutkan itu.
- Kalau kita menganggap bahawa
bekerjasama dengan kekejaman/musuh, berkecuali terhadapnya atau lari
daripadanya itu adalah sesuatu yang bukan mutlak tidak baik, tetapi ketidakbaikannya
itu tertakluk kepada beberapa pertimbangan tertentu, maka kita terpaksa pula
menentukan apakah pertimbangan-pertimbangan tertentu itu.
- Kalau salah satu daripada pertimbangan tertentu
kita itu ialah hal-hal yang dikatakan wajar dilakukan demi mengelakkan bencana
yang lebih buruk maka kita tidak akan menyalahkan kumpulan orang yang terlibat
itu kiranya terbukti niat mereka adalah begitu.
-
Kalau pengecualian atau pertimbangan tertentu kita ini merangkumi
juga tindakan yang dilaksana demi menyelamatkan diri dan negara sendiri, maka
lebih banyak lagi orang dan negara yang akan dikecualikan atau dibebaskan
daripada kesalahan dari tuduhan.
Sebaliknya pula, kita mungkin
menganggap bahawa berkecuali terhadap kekejaman/musuh, bekerjasama dengannya
atau lari daripadanya, adalah perkara yang tidak dapat dimaafkan kecuali perbuatan
yang serupa itu di sampingi dengan persediaan, atau usaha menentang keganasan
itu. Maka di dalam kes begini perlulah dicari bukti bagi menunjukkan adanya
persediaan atau usaha ke arah itu. ini tentu sekali merupakan perkara yang amat
rumit. Di dalam suasana keganasan yang diranjaui pula oleh satu sistem
pengintipan yang menyeluruh, seseorang mungkin mendakwa ia telah sengaja tidak
membuat apa-apa persediaan atau usaha (atau sesuatu yang boleh ditafsirkan
begitu oleh pihak pemerintah) bagi mengelakkan timbulnya syak wasangka pada
pihak pemerintah: Malah, seseorang mungkinjuga membuat hujah bahawa ia
bekerjasama dengan keganasan (walaupun ia membencinya) dengan tujuan
menghapuskan keraguan pemerintah tentang ketaatsetiaannya kepada kerajaan.
Dengan kata lain, strateginya ialah untuk kekal hidup dan bertenaga sehingga ke
peringkat wujudnya suatu masa dan keadaan yang sesuai untuk menentang dan
menghapuskan keganasan itu. Pada masa itu, barulah ia akan menunjukkan
belangnya. Di mana kita berada sekarang? Bagaimana akan kita cari garis
pemisah yang membezakan apa yang kita panggil dayus dengan apa yang kita
panggil kepintaran? Bagaimana mungkin kita membuat penghakiman sejarah? Di
sinilah pentingnya kita mengetahui sama ada terdapat atau tidaknya satu-satu
penetapan mutlak tentang bagaimana sesuatu matlamat itu patut atau boleh
diusahakan. Apakah matlamat itu menghalalkan cara, yakni biar apa pun caranya?
Sebagai rumusan ingin saya jelaskan
sekali lagi bagaimana, peri mustahaknya dibuat penentuan tentang ada atau
tidak ukuran mutlak apabila seseorang itu membuat sesuatu penganalisisan sejarah.
Kepercayaan seseorang tentang ada atau tidaknya apa yang dipanggil unsur mutlak
itu, tanggapan dan juga tindakannya atau ketiadaan tindakan tentu boleh menimbulkan
rantaian peristiwa yang tersendiri. Maka begitu juga halnya dengan pendirian
ahli sejarah tentang sama ada ia mahu atau tidak mahu mengendalikan pengadilan
moral di dalam penganalisisan sejarahnya. Sikap pro, anti, atau berkecuali
di dalam soal ini boleh mengakibatkan rantaian pemikiran atau peristiwa yang
tersendiri yang seterusnya akan menimbulkan akibat-akibat lain. Dakwaan ini
adalah tidak keterlaluan rasanya, selagi kita percaya bahawa apa yang dipanggil
penyebaban itu memang ada memainkan peranan di dalam sejarah dan juga kehidupan.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan, seperti kata seorang ahli sejarah,
"sekiranya yang pakar, cermat dan terlatih gagal untuk menghasilkan pengajaran
daripada sejarah, maka yang curang dan tidak terlatih akan melakukannya bagi
pihak mereka." Walaupun ahli sejarah patut mengendalikan pengadilan moral,
ia tidak semestinya pula merupakan seorang yang ahli atau mampu berbuat begitu.
Namun, mengaku tidak mampu tidak semestinya tidak baik. Pengakuan ini memang
mungkin menjadikan seorang itu tawar hati dan mengundurkan diri, tetapi boleh
juga menjadikan seseorang itu lebih bergiat untuk mengatasi kekurangan, sama
ada secara sendirian atau secara berkelompok. Pokoknya, jalan keluar daripada
masalah ini bukanlah lari daripadanya "tetapi memperlengkapkan lagi
para ahli sejarah dengan kemahiran yang berkait...." Dan masalah ini
perlu dihadapi dan diselesaikan oleh para ahli sejarah sebagai manusia biasa
dan juga oleh bukan ahli sejarah yang juga manusia biasa".
1xbet korean - legalbet.co.kr
ReplyDeleteThe name 1xbet korean is a 1xbet korean slang term used to describe an Asian handicap handicap that was invented in 1994. It is one of kadangpintar the world's best 바카라 사이트 handicap