Sunday 27 September 2020

KEJATUHAN MELAKA

 Kejatuhan Melaka Kegemilangan Melaka terserlah semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456 1477). Namun, pengaruh kerajaan Melaka didapati semakin merosot pada akhir abad ke-15, terutama semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah. 

Antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kerajaan ini ialah:

1. Ketiadaan Pemimpin yang Cekap

Ketiadaan pemimpin yang cekap bermula daripada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda mempunyai sikap yang amat berbeza dengan ayahandanya, Sultan Mansor Syah yang sangat gagah, berani dan tegas. Sultan Alauddin, walaupun merupakan seorang yang berani dan tegas, namun bersikap lembut dan tidak suka akan kekerasan. Oleh itu, tidak banyak perluasan wilayah berlaku pada zaman baginda. Ini menyebabkan banyak wilayah-wilayah jajahan cuba membebaskan diri dan membentuk autonomi masing-masing. 

Sementara itu dari segi pembesar pula, bendahara-bendahara yang menggantikan Tun Perak didapati tidak secergas dan sebijaksana beliau. Misalnya, adik Tun Perak iaitu Tun Perpatih Putih yang menggantikan beliau merupakan seorang yang pemboros.

 Demikian juga Tun Mutahir yang lebih memberi tumpuan kepada keinginan menambahkan kekayaan berbanding mengutamakan pentadbiran kerajaan. Selain daripada bendahara, dari segi pertahanan ketenteraan dan kepahlawanan, ketiadaan pahlawan-pahlawan yang handal seperti Hang Tuah dan Tun Hamzah telah melemahkan lagi aspek pertahanan kerajaan.

2. Pemerintahan yang Zalim

Di samping itu, walaupun agama Islam menjadi anutan dan disebarkan secara meluas di Melaka, pegangan dan amalannya di kalangan pembesar dan rakyat terlalu nipis dan tidak dihayati sepenuhnya. Justeru itu, banyak berlaku kezaliman, ketidakadilan dan penindasan. Fenomena ini boleh dikaitkan juga dengan meningkatnya kegiatan rasuah di kalangan pembesar-pembesar kerana terlalu mengejar kekayaan.

3. Rakyat Berpecah-belah dan Tidak Bersatu-padu

Kurangnya semangat perpaduan di kalangan rakyat juga mengundang kepada kemerosotan Melaka. Pembesar dan rakyat hidup berpuak-puak, misalnya wujud puak tua (kumpulan Sultan Mahmud) dan puak muda (kumpulan Sultan Ahmad) yang tidak bersefahaman. Demikian juga, wujud pertelingkahan antara kaum India-Muslim dengan kaum Melayu.

4 Pedagang Mula Mengalihkan Pusat Perdagangannya ke Tempat Lain

Sikap tidak adil pembesar juga seperti mengenakan cukai yang berlebihan kepada pedagang-pedagang menyebabkan mereka menjadi marah dan mula mencari pelabuhan lain seperti Aceh, Bentan, Patani dan Brunei untuk menjalankan kegiatan perdagangan mereka.

 5. Tidak Ada Kekuatan Tentera dan Pertahanan Kerajaan

Melaka masih lagi belum maju dari segi ketenteraan, strategi perang dan juga senjata. Tentera Melaka masih lagi mengamalkan kaedah lama, iaitu menggunakan keris dan pedang sedangkan pihak Portugis menggunakan senjata yang lebih canggih iaitu menggunakan senapang dan peluru.

6.  Faktor Luaran 

Penemuan jalanan laut melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika oleh Bartholomew Diaz pada tahun 1488. Akibat bermulanya aktiviti penjelajahan di Eropah ke Timur dengan penemuan Tanjung Harapan pada tahun 1488 menyebabkan kuasa-kuasa Barat mula berminat dengan tapak-tapak perdagangan di kawasan timur. Pihak Portugis telah menyerang Melaka pada tahun 1509 dan 1511. Pada masa itu, Melaka tidak mempunyai kubu yang kuat di samping sukar menandingi alat-alat senjata angkatan Portugis yang lebih canggih dan moden.  

Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, iaitu kepada angkatan Portugis yang dipimpin oleh Alfanso de Alburqueque

No comments:

Post a Comment