Kegemilangan Kesultanan Melaka
"Maka segala dagang atas angin dan bawah angin
sekaliannya datang ke Melaka; terlalu ramai bandar Melaka ketika itu".
Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan
kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting
bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja
China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan
dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga
menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458
bersama-sama 500 orang pengiring.
Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa
ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan
campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini
juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.
Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan
sebahagian besar Sumatera. Pesaing
utama Melaka ialah Siam di utara
dan Majapahit di selatan. Majapahit
kemudiannya tumbang setelah banyak kawasan jajahan telah dikuasai oleh Melaka
pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi
kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.
Kejayaan Melaka
Selepas Melaka
muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya
pada Abad ke-15,
Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan
yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di
Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam dan Srivijaya. Melaka
yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan
mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya.
Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat
martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya
kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang
cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.
Keupayaan Melaka
telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan
kuasa Siam dan Jawa telah
meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri
tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung,
Kedah, dan Patani yang secara sukarela
datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang
tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka.
Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah
dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan,
menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal
ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam
perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.
Kejayaan Melaka
memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga
bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi
pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga
bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat
lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka
adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi
asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan
pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.
Salam kepada semua guru pelatih
ReplyDeleteKalau ada komen sila post dalam blog saya